NIKAH

November 6, 2009 at 10:58 pm (ilmu) (, , , , )

NIKAH DAN PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA

NIKAH

Pengertian
Bahasa: Bersatu dan berkumpul
Syara’: satu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh/berseronok-seronok) antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syara’.

Hikmah disyariatkan perkahwinan
1. Menyahut seruan fitrah manusia
2. Menjamin kesejahteraan masyarakat dan meluaskan tali persaudaraan
3. mewujudkan ketenangan jiwa dan menjamin kebahagiaan rumahtangga
4. Menyebarkan kebaikan
5. Menjaga akhlak dan melahirkan keturunan yang soleh
6. Mengekalkan keturunan manusia
7. Memelihara maruah wanita

HUKUM PERKAHWINAN
1. Sunat
i. Ingin berkahwin
ii. Mampu dari segi nafkah dan mas kahwin
iii. Berasa tidak akan terjerumus ke dalam maksiat jika tidak berkahwin

2. Sunat meninggalkannya (Melakukannya dikira Khilaf al-Aula)
i. Berhajat untuk berkahwin
ii. Tidak mampu daripada segi nafkah
– Perlu beribadat dan berpuasa untuk menjaga kesucian dirinya.

3. Makruh
i. Tidak berhajat kepada perlahwinan
ii. Tidak memiliki kemampuan

4. Afdhal tidak berkahwin
i. Mampu
ii. Tidak ada keinginan untuk berkahwin
iii. Sibuk beribadat atau menuntut ilmu

5. Afdhal berkahwin
i. Tidak sibuk beribadat dan menuntut ilmu
ii. Mampu
iii. Tidak ada keperluan untuk berkahwin

KEDUDUKAN KELUARGA DAN PENJAGAANNYA DALAM ISLAM

Pengertian keluarga:
Bahasa: Kelompok individu yang mempunyai hubungan rapat dengan lelaki tertentu.
Istilah: Satu sel atau kelompok yang mengandungi bapa, ibu, datuk, nenek, anak lelaki dan perempuan serta cucu-cucu.

Gambaran penekanan Islam kepada keluarga
1. Pensyariatan perkahwinan

2. Menetapkan tanggungjawab dan hak suami isteri
a. Mas kahwin
b. Nafkah
c. Pergaulan yang baik
d. Taat kepada suami
e. Tidak membenarkan orang lain masuk ke rumah tanpa kebenaran suami
f. Menjaga kemuliaan, kehormatan dan harta benda suami

3. Menetapkan hak anak dan ibu bapa
a. Nafkah
b. Mendidik anak supaya beribadat dan berakhlak
c. Taat kepada kedua ibu bapa dalam perkara yang bukan maksiat dan berbuat baik kepada mereka
g. Memberi nafkah kepada ibu bapa jika mereka fakir miskin dan anak pula senang

PEREMPUAN YANG HARAM DIKAHWINI

Haram selama-lamanya
a. Haram kerana keturunan
i. Ibu, nenek sebelah ibu dan nenek sebelah bapa (usul)
ii. Anak perempuan, cucu perempuan dari anak lelaki dan cucu perempuan dari anak perempuan (furu’)
iii. Adik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu (furu’ ibu bapa)
iv. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa atau seibu
v. Anak perempuan kepada adik beradik perempuan yang seibu sebapa atau sebapa atau seibu
vi. Ibu saudara sebelah bapa (seibu sebapa atau sebapa atau seibu) (furu’ datuk dan nenek)
vii. Ibu saudara sebelah ibu (seibu sebapa atau sebapa atau seibu) (furu’ datuk dan nenek)

b. Haram kerana perkahwinan
i. Ibu tiri, nenek tiri sebelah bapa dan sebelah ibu (isteri usul)
ii. Menantu, isteri cucu lelaki daripada anak lelaki dan isteri cucu lelaki daripada anak perempuan (isteri furu’)
iii. Ibu mentua
iv. Anak tiri
– i,ii,iii haram bila berlakunya akad nikah tetapi iv haram bila berlakunya persetubuhan antara ayah tirinya dengan ibunya.

c. Haram kerana susuan
i. Ibu susuan (ibu yang menyusukan kamu). Termasuk juga ibu kepada ibu susu (nenek) seibu sebapa atau sebapa atau seibu
ii. Adik beradik perempuan susuan (perempuan yang menyusu dengan ibu kamu atau kamu menyusu dengan ibunya atau kamu dan dia menyusu dengn seorang perempuan yang sama)
iii. Anak perempuan kepada adik beradik lelaki susuan
iv. Anak perempuan kepada adik beradik perempuan susuan
v. Ibu saudara susuan (adik beradik susuan bapa)
vi. Ibu saudara susuan (adik beradik susuan ibu)
vii. Anak perempuan susuan (perempuan yang menyusu dengan isterimu)
viii. Ibu mentua susuan (ibu susuan isterimu)
ix. Anak tiri susuan (perempuan yang menyusu dengan isterimu sebelum isterimu berkahwin denganmu)
x. Ibu tiri susuan (madu ibu susumu)
xi. Menantu susuan (isteri kepada lelaki yang disusu oleh isterimu)

Haram untuk sementara waktu
a. Berkahwin dengan dua beradik sekaligus

b. Memadukan seorang perempuan dengan ibu saudaranya sebelah ibu dan ibu saudaranya sebelah bapa, dan memadukan seorang perempuan dengan anak saudaranya (anak perempuan kepada adik beradik perempuannya atau anak perempuan kepada adik beradik lelakinya) atau memadukan seorang perempuan dengan cucunya (anak perempuan kepada anak lelakinya atau anak perempuan kepada anak perempuannya)
– Kaedah ulama’ fiqh: Diharamkan memadukan dua orang perempuan yang jika ditakdirkan salah seorang daripada mereka adalah lelaki, mereka haram berkahwin sesama mereka.

c. Berkahwin lebih daripada empat orang perempuan dalam satu masa kecuali jika diceraikan salah satu isterinya sehingga isterinya habis eddah atau isterinya meninggal dunia

d. Perempuan kafir yang menyembah berhala, tidak termasuk ahli kitab sehingga dia memeluk Islam

e. Isteri orang sehingga suaminya meninggal dunia atau menceraikannya sehingga perempuan tersebut habis eddah

f. Perempuan yang masih dalam eddah sama ada kerana diceraikan atau kematian suami sehingga habis eddahnya

g. Isteri sendiri yang diceraikan dengan talak tiga sehingga dia berkahwin dengan lelaki lain dengan perkahwinan yang syarie dan dia telah diceraikan oleh suami yang kedua serta eddahnya telah habis

POLIGAMI DAN HIKMAH PENSYARIATAN
Hukum poligami

Hukum asal adalah harus dan dibolehkan
1. Sunat
i. Apabila suami memerlukan isteri yang lain
ii. Beliau tidak cukup dengan hanya satu isteri, atau
iii. Isterinya sakit atau mandul sedangkan beliau sangat mengkehendaki anak
iv. Berasa mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya

2. Makruh
i. Bukan kerana keperluan
ii. Hanya untuk menambah keseronokan semata-mata
iii. Dia meragui kemampuannya untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

3. Haram
i. Zhan atau yakin tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya kerana miskin atau kelemahannya
ii. Tidak yakin dirinya dapat mengawal kecenderungan dan sifat prejudisnya

Keadilan yang dituntut terhadap isteri
Keadilan yang diwajibkan ke atas lelaki yang berpoligami adalah keadilan nafkah, tempat tinggal, tempat tidur, pergaulan yang baik serta melaksanakan kewajipan sebagai seorang suami terhadap isteri-isterinya.

Hikmah disyariatkan poligami
1. Menjaga kesucian mereka yang tidak cukup dengan hanya memiliki seorang isteri.
2. Mengelakkan wanita daripada diburu oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab

Keadaan yang membenarkan poligami
1. Lelaki yang mempunyai keinginan yang tinggi terhadap wanita tetapi isterinya tidak mampu
2. Berlaku peperangan
3. Lelaki yang sangat menginginkan anak sedang isterinya mandul

MUKADDIMAH PERKAHWINAN

Mencari sifat-sifat yang dituntut pada pasangan
i. Agama yang sahih dan akhlak yang mantap
ii. Keturunan
iii. Tidak berkahwin dengan saudara terdekat
iv. Sekufu
v. Perawan

Melihat bakal isteri
i. Batas melihat bakal isteri: muka dan kedua tapak tangan sahaja

Peminangan
i. Bilakah pinangan dihalalkan dan diharamkan?
a) Halal secara tasrih (terus terang) atau ta’rid (kiasan) jika perempuan itu bukan isteri orang, tidak berada dalam edah dan bukan perempuan yang haram dikahwini.
b) Halal secara ta’rid jika perempuan berada dalam edah kematian suami atau edah talaq bain.
c) Haram secara tasrih atau ta’rid selain dua keadaan di atas.

ii. Meminang perempuan yang telah dipinang
a) Haram jika pinangan sebelumnya telah diterima.
b) Walaupun begitu, boleh meminang jika lelaki pertama (tunangnya) memberi keizinan.

iii. Meminta pandangan tentang bakal pengantin
a) Orang yang dipinta pandangannya tentang bakal pengatin hendaklah menceritakan keaiban dan keburukannya secara jujur.

iv. Wali disunatkan menawarkan perempuan di bawah jagaannya kepada lelaki yang soleh dan bertaqwa.

v. Sunat-sunat meminang
a) Khutbah
b) Memuji Allah
c) Menyatakan hasrat

RUKUN NIKAH
1. Sighah
i. Ijab dan qabul.
ii. Ijab: “Aku nikahkan engkau” atau “aku nikahkan engkau dengan anak perempuan aku”
iii. Qabul: “Aku terima nikahnya” atau “aku terima nikah anak perempuan engkau”
iv. Sah didahului qabul daripada ijab
v. Syarat:
a. Menggunakan lafaz nikah atau kahwin
b. Lafaz jelas dan terang
c. Ijab dan Qabul bersambung
d. Wali dan pengantin lelaki waras sehingga selesai akad
e. Sighah menunjukkan akad berlaku ketika itu juga
f. Sighah mestilah mutlak

2. Isteri
i. Bukan perempuan yang haram dikahwini
ii. Ditentukan
iii. Tidak dalam ihram haji atau umrah

3. Suami
i. Bukan mahram
ii. Tertentu
iii. Tidak dalam ihram

4. Wali
i. Wali untuk mengahwinkan perempuan
ii. kedudukan wali
a. Bapa
b. Datuk
c. Adik beradik lelaki seibu sebapa
d. Adik beradik lelaki sebapa
e. Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki seibu sebapa)
f. Anak saudara (anak kepada adik beradik lelaki sebapa)
g. Bapa saudara seibu sebapa (adik beradik bapa seibu sebapa)
h. Bapa saudara sebapa
i. Sepupu (anak kepada bapa saudara seibu sebapa)
j. Sepupu (anak kepada bapa saudara sebapa)

iii. Anak lelaki tidak boleh menjadi wali kepada ibunya
iv. Syarat:
a. Islam
b. Adil
c. Baligh
d. Berakal
e. Tidak cacat pandangan
f. Tidak dilarang oleh syara’ untuk membelanjakan hartanya disebabkan safih
g. Bukan orang yang berihram
v. Pembahagian wali
a. Mujbir
b. Tidak mujbir

5. Dua orang saksi
i. Syarat
a. Islam
b. Lelaki
c. Berakal dan baligh
d. Adil
e. Mendengar
f. Melihat

Pautan Kekal 1 Komen

Nafkah

Oktober 29, 2009 at 11:15 pm (merapu) (, , , )

NAFKAH

Takrif Nafkah

Nafkah daripada segi bahasa adalah mengeluarkan atau menghabiskan. Perkataan nafkah hanya digunakan dengan makna yang baik sahaja. Daripada segi istilah, nafkah adalah semua perkara yang diperlukan oleh manusia. Contohnya makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.

 Jenis Nafkah

1. Nafkah manusia kepada dirinya sendiri.

2. Nafkah usul kepada furu’.

3. Nafkah furu’ kepada usul.

4. Nafkah suami kepada isteri.

5. Nafkah-nafkah lain.

  

1. Nafkah Manusia Kepada Dirinya Sendiri.

Nafkah kepada diri sendiri merupakan nafkah yang paling rendah, jika mampu. Ia hendaklah didahulukan daripada nafkah-nafkah yang lain. Nafkah kepada diri sendiri meliputi semua perkara yang diperlukan oleh seseorang manusia seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman dan sebagainya. Nafkah yang diwajibkan terhadap diri sendiri hendaklah diambil daripada hartanya sendiri, selagi dia memiliki harta yang boleh digunakan sebagai nafkah.

 

2. Nafkah Usul (ayah, datuk) Kepada Furu’ (anak cucu).

Usul wajib memberi nafkah kepada furu’nya. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberikan semua jenis nafkah yang diperlukan kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk (ayah kepada bapa) wajib mengambil tanggungjawab ini. Begitulah seterusnya berdasarkan hubungan usul yang terdekat dengan furu’.

Dalil: 

Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.” (at-Talaq: 6)

Syarat Usul Wajib Memberikan Nafkah Kepada Furu’.

1. Mereka mempunyai makanan yang melebihi keperluan diri dan isteri untuk tempoh sehari semalam.

2. Furu’ hendaklah dikalangan orang fakir dan termasuk dalam salah satu syarat berikut:-

a. Masih kecil (kanak-kanak).

b. Sakit yang berpanjangan (tidak mampu bekerja).

c. Gila.

Dimaksudkan dengan fakir di sini ialah tidak mampu bekerja. Jika anak itu telah baligh dan mampu bekerja, bapa tidak wajib memberi nafkah walaupun anaknya tidak bekerja. Jika anak itu tidak bekerja kerana sibuk mencari ilmu;

Jika ilmu itu adalah ilmu yang bersangkutan dengan kewajipan dirinya seperti ilmu akidah dan ibadah, ia dikira tidak mampu bekerja dan bapa wajib memberikan nafkah kepadanya. Jika ilmu yang dipelajarinya itu adalah ilmu fardu kifayah seperti ilmu perubatan dan sebagainya, dan dia tidak bekerja sedangkan dia mampu bekerja, maka bapa mempunyai pilihan sama ada membenarkan anak itu terus belajar dan dia memberikan nafkahnya, atau tidak memberikannya nafkah menyebabkan anak itu terpaksa bekerja.

Kadar Nafkah.

Nafkah tidak mempunyai kadar tertentu. Ia hanya ditentukan berdasarkan konsep cukup pada kebiasaan dan kemampuan pemberi nafkah. Firman Allah: 

Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah menurut kemampuannya, dan siapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah memberikan nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq: 7)

Apabila Nafkah Tidak Diberikan pada Waktunya, Adakah Ia Dianggap Hutang?

Nafkah kepada furu’ tidak menjadi hutang apabila tidak diberikan pada waktunya. Tetapi jika berlaku perselisihan, qadi perlu masuk campur untuk menyelesaikanya. Qadi hendaklah menetapkan nafkah tertentu yang yang mesti diberikan oleh usul, atau memberi keizinan kepada furu’ berhutang dengan kadar tertentu yang diperlukannya menggunakan nama usulnya (maksudnya, usul akan menanggung hutang tersebut). Oleh itu, nafkah itu akan menjadikan usul berhutang jika tidak ditunaikan pada waktunya. Nafkah tersebut tidak akan gugur dengan luputnya masa kerana ia telah menjadi hak milik furu’ disebabkan hukuman yang telah dijatuhkan oleh qadi.

 

 3. Nafkah Furu’ Kepada Usul.

Furu’ juga wajib memberi nafkah kepada usul iaitu bapa, ibu, datuk, nenek, dan ke atas. Dalil:

Dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan baik.” (Luqman: 15)

Syarat Wajib Nafkah Furu’ Kepada Usul.

1. Furu’ mempunyai lebihan nafkah untuk keperluan asasi diri dan isterinya untuk tempoh sehari semalam. Jika lebihan hanya cukup untuk seorang, maka ibu hendaklah didahulukan.

2. Usul hendaklah dikalangan orang fakir, iaitu dia tidak mempunyai pekerjaan yang boleh memenuhi keperluan asasinya, sama ada dia mampu bekerja atau tidak.

3. Ibu tidak mendapat nafkah secukupnya daripada suami sama ada dari segi realiti atau hukum. Anak wajib memberi nafkah kepada ibunya dalam dua keadaan ini:-

a. Bapa tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya (ibu kepada anak tadi).

b. Bapa telah meninggal dunia dan ibunya tidak mempunyai suami (tidak berkahwin lagi). Jika ibu telah berkahwin lain, maka anak tidak lagi wajib memberi nafkah kepadanya.

Kewajipan Nafkah Tidak Terjejas Disebabkan Perbezaan Agama.

Kewajipan memberi nafkah usul kepada furu’, atau sebaliknya tidak terjejas dengan wujudnya perbezaan agama. Walau bagaimanapun, orang murtad tidak termasuk dalam hukum ini. Nafkah tidak diberikan kepadanya.

Kadar Nafkah Furu’ Kepada Usul.

Kadar nafkah furu’ kepada usul juga tidak ditentukan. Ia terserah kepada kebiasaan yang berlaku. Ia juga tidak menjadi hutang jika tidak diberikan pada waktunya, kecuali jika berlaku perselisihan; qadi masuk campur dan menentukan kadar nafkah yang wajib dibayar. Maka jika tidak ditunaikan, dikira hutang.

Siapakah Yang Sepatutnya Memberikan Nafkah?

Jika usul adalah orang yang fakir, dan mereka mempunyai furu’ yang hampir sama dengan mereka (dari segi hubungan kerabat), kesemua furu’ mesti memberikan nafkah kepada kepada usul mereka. Perempuan perlu mengeluarkan separuh daripada behagian nafkah yang dikeluarkan oleh lelaki, sama seperti masalah harta pusaka. Jika bilangan usul, furu’ atau orang lain yang memerlukan nafkah adalah ramai, sedangkan lebihan keperluannya tidak mencukupi, keutamaannya adalah seperti berikut:-

 Selepas memenuhi keperluan dirinya, nafkah hendaklah diberikan kepada:-

a. Isterinya kerana nafkah kepada isterinya adalah pasti, dan tidak luput dengan berlalunya masa.

b. Anaknya yang masih kecil dan anaknya yang telah dewasa tetapi gila.

c. Ibunya kerana beliau tidak mampu bekerja.

d. Bapa.

e. Anak yang sudah besar, tetapi fakir.

f. Datuk dan ke atas.

 suami wajib memberi nafkah kepada isteri

4. Nafkah Suami Kepada Isterinya.

Ijma’ Ulama mengatakan bahawa suami wajib memberikan nafkah kepada isterinya dengan syarat-syarat yang tertentu. Dalil: 

Kaum lelaki itu adalah pimpinan dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (an-Nisa’: 34)

Rahsia Diwajibkan Suami Memberikan Nafkah Kepada Isteri.

Demi menjadikan setiap pasangan sebagai asas kepada kebahagiaan antara satu sama lain, demi menjadikan rumah tangga sentiasa tenteram, harmoni dan tenang, demi menjadikan wanita sentiasa dipandang mulia dan sentiasa diperlukan oleh lelaki, demi untuk tidak memalukan lelaki apabila hanya berperanan sebagai penunggu ataupun penipu,…demi untuk mencapai semua itu, mancari dan memberi nafkah kepada keluarga adalah kewajipan suami dan bukannya isteri.

Syarat Suami Wajib Memberikan Nafkah Kepada Isteri.

1. Isteri menyerahkan dirinya kepada suami dengan tidak menolak untuk melakukan istimta’. Jika isteri menolak, suami tidak wajib memberikan nafkah. Jika suami ingin melakukan istimta’ dalam bentuk yang diharamkan, keengganan isteri tidak menggugurkan kewajipan suami memberi nafkah.

2. Isteri perlu mengikut suaminya tinggal di tempat atau di rumah pilihan suaminya jika tidak memudhoratkan dan sesuai dari segi syara’. Jika isteri enggan, suami tidak wajib memberikan nafkah kerana isterinya telah nusyuz.

Kadar Nafkah Isteri Dikira Berdasarkan Keadaan Suami.

Allah telah menjadikan faktor yang diambil kira adalah keadaan suami, senang atau susah, bukan bergantung kepada tahap dan kedudukan isteri. Syara’ telah membahagikan kemampuan suami kepada tiga tahap iaitu senang (kaya), sederhana dan fakir. Tahap kemampuan ini ditentukan berdasarkan uruf kebiasaan setempat.

1. Suami yang kaya wajib memberikan nafkah sebagaimana berikut:-

a. Dua cupak (dua kautan penuh tangan) makanan asasi penduduk setempat setiap hari termasuk keperluan yang diperlukannya untuk membuat roti. Suami juga boleh menyediakan roti yang telah siap.

b. Memberikan al-Udm (makanan yang dimakan dengan roti) yang menjadi kebiasaan bagi penduduk negeri tersebut, iaitu makanan kebiasaan orang kaya di tempat itu.

c. Pakaian dari jenis, mutu dan jumlah yang layak (biasa) di pakai bagi isteri orang kaya di kawasan tersebut. Termasuk juga perabot, hamparan, alatan memasak dan seumpamanya.

2. Suami yang sederhana wajib memberikan nafkah:

a. Satu cupak setengah makanan asasi bagi penduduk setempat setiap hari.

b. Memberikan al-Udm (makanan yang dimakan dengan roti) yang menjadi kebiasaan bagi golongan pertengahan di negeri tersebut.

c. Pakaian yang sesuai bagi wanita-wanita yang setaraf dengannya. Begitu juga keperluan rumah yang lain.

3. Suami yang fakir wajib memberikan nafkah:

a. Satu cupak setengah makanan asasi bagi penduduk setempat setiap hari.

b. Al-Udm yang menjadi kebiasaan fakir miskin di negeri tersebut.

c. Pakaian yang layak bagi isteri-isteri yang setaraf dengannya yang tingal di kawasan tersebut.

Sebagai tambahan, perkara yang termasuk dalam nafkah kepada isteri adalah:

a. Rumah yang sesuai dengan kemampuan suami dan boleh didiami oleh isterinya.

b. Semua peralatan yang diperlukan untuk tujuan pembersihan. Begitu juga alat perhiasan jika suami meminta isteri berhias untuknya.

c. Pembantu rumah (khadam) dari kalangan perempuan atau kanak-kanak yang mumayyiz tetapi belum baligh atau mahramnya jika sebelumnya isteri mempunyai khadam.

Kesan Suami Kesempitan untuk Memberikan Nafkah.

 Apabila suami kesempitan untuk memberikan nafkah sehingga ke tahap fakir sepenuhnya, dan tidak mampu memberikan nafkah sekurang-kurangnya tiga hari, isteri boleh meminta fasakh nikah.

 

5. Nafkah-nafkah Lain.

1. Nafkah Kepada Binatang

a. Binatang yang boleh dimakan. Tuannya boleh memilih sama ada memberikannya makanan dan minuman untuk terus hidup, atau menyembelihnya untuk dimakan, menjualnya, atau menghadiahkannya kepada orang lain. Jika dia tidak menyembelih dan tidak jual atau menghadiahkan kepada orang lain, dia hendaklah dipaksa supaya memberi makanan dan minuman kepada binatang peliharaannya dengan kadar yang mencukupi. Jika tidak, dia hendaklah dipaksa untuk menjualnya. Jika berdegil, binatang peliharaannya hendaklah dirampas dan dijual.

b. Binatang peliharaan yang tidak boleh dimakan. Pemiliknya hendaklah menjaga dan memberikan nafkah (makanan dan minuman) kepada binatang peliharaannya.

c. Binatang yang tidak dipelihara dan tidak boleh dimakan. Orang ramai tidak perlu memberi makanan dan minuman kepada binatang ini.

2. Nafkah Kepada Pokok dan Tanaman.

Maksud memberi nafkah kepada pokok dan tanaman adalah menyiram dan menjaganya.

 

Wallahu A’lam.

 

BIBLIOGRAFI

1. Al-Quran al-Karim.

2. Terjemahan al-Quran.

3. Dr.Mustafa al-Khin, Dr Mustofa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji, Fiqh al-Manhaji jilid 2, Darul Qalam, Dimasyq, 2003 M/1424 H.

Pautan Kekal 8 Komen

Meneroka Diri

Oktober 25, 2009 at 5:22 pm (terjemahan)

The Alchemist by Paulo Coelho

By Dr Sulaiman Dufford

Alih bahasa secara bebas 

Sumber: Forward Magazine October 2009

 

Salah satu tugas yang paling mencabar bagi belia Muslim moden adalah mencari kebolehan dirinya yang sebenar. Pendidikan Islam sangat didominasi oleh model ‘Halaqah’, dan hampir kesemuanya, termasuk di universiti-universiti Islam, perkara ini dipaksakan kepada belia. Mereka diharapkan menjadi Muslim yang baik ‘dari luar ke dalam’.

            Bakat, sebaliknya, mesti dicungkil ‘dari dalam ke luar’. Maka, belia Muslim perlu banyak meneroka ke dalam diri untuk mencungkil apakah kelebihan unik yang dihadiahkan oleh Allah kepada mereka, setiap orang, secara individu.

            Dalam sistem persekolahan moden Muslim, hampir tidak ada kursus yang dapat mencungkil bakat individu. Bahkan kegiatan sukan, yang bersifat sekali sehari di Barat, biasanya diadakan sekali seminggu di Malaysia, atau di negara yang terdekat, Indonesia.

            Kegiatan mencungkil bakat dalam diri seperti musik, drama, melukis, seni tempa, menulis puisi dan sebagainya, hanya disediakan sebagai apa yang disebut ‘kokurikulum’, yang hanya dihadiri oleh sebilangan kecil pelajar, kerana persaingan sengit untuk lulus peperiksaan dan mendapat kerja. Tidak ada nilaian yang diberikan kepada aktiviti kokurikulum ini.

            Hal ini merupakan satu jenayah yang bertentangan dengan fitrah (perasaan dalaman) belia, kerana mereka lebih memerlukan aktiviti-aktiviti berbentuk fizikal atau yang berbentuk mencungkil kemahiran, terutamanya dalam rangka untuk mematangkan sistem ‘ingin tahu’ mereka.

            Paulo Coelho telah menulis sebuah cerita moden yang elegan tentang seorang anak pengembala kambing di Sepanyol yang bertekad untuk mencari ‘jiwa dunia’, dalam misi mencari ‘Legenda Peribadi’. Sudut falsafah Coelho adalah, ‘kewajipan seorang individu adalah hanya untuk menyedari takdirnya’.

            Hero mudanya telah merantau merentasi Utara Afrika, belajar untuk bercakap dalam bahasa Arab dan akhirnya sampai ke tempat Piramid di Mesir, yang mana itu adalah merupakan impiannya. Dalam perjalanan, dia telah jatuh cinta dengan seorang ‘perempuan padang pasir’ yang memahami bahawa cinta sejati menuntutnya supaya menyokong misinya mencapai impian peribadinya, dan tetap yakin bahawa dia akan kembali ke sisinya selepas selesai melakukan misinya itu.

            Sebenarnya banyak elemen yang diberikan oleh Coelho kepada kita untuk dijadikan contoh dalam kisah pengembaraan heronya itu. Kita sebagai Muslim, hanya mampu menggelengkan kepala putus asa kerana tradisi kita terlalu zalim dalam perkara ini.

            Sebenarnya, kebanyakan belia lebih suka berusaha untuk menyumbang sesuatu kepada keluarga dan masyarakat berdasarkan kelebihan diri masing-masing, berbanding mendapatkan sijil perakaunan atau ijazah perniagaan yang sering dipaksakan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka dalam mencari jaminan kewangan.

            Jaminan kewangan ini telah digambarkan oleh Coelho sebagai salah satu selingan utama kepada setiap individu dalam usahanya mencari takdirnya yang sebenar yang boleh menjerumuskan ke dalam ‘nasib’. ‘Nasib’ seseorang adalah apa yang terjadi ketika ia menyerah kalah dan menjadi pasif dengan kehidupan, seterusnya jatuh ke dalam jurang yang berbahaya. Di sini, ada keseimbangan yang indah yang harus dicapai oleh para belia, iaitu antara ‘ia sudah tertulis’ dan ‘seseorang perlu menulis…’.

            Coelho telah menulis sendiri pendahuluan di dalam buku kecil ini, yang mana sungguh mengejutkan, ia telah diterjemahkan ke dalam 56 bahasa dan dibeli oleh ribuan pembaca di seluruh dunia. Beliau memberi ingatan tentang empat hambatan dalam mencari identiti diri yang sejati.

            Hambatan pertama adalah sifat pasif seperti yang disebut di atas – kita diberitahu dan membiarkan diri kita menjadi yakin bahawa apa yang benar-benar kita ingin lakukan dalam hidup adalah mustahil, sehingga suatu saat kita mengabaikan suara batin kita, walaupun dia masih ada di sana.

            Hambatan kedua daripada pemerhatian bijak Coelho adalah cinta. Kita tidak mahu menyakiti seseorang dengan meninggalkan semua perkara dalam memenuhi impian kita. Muslim, Kristian dan Yahudi (Ahlil Kitab) menghadapi dilema yang sama, suruhan kitab suci untuk menghormati ibu bapa mereka, dengan menggunakan bahasa Sepuluh Perintah.

            Keturunan Yahudi dikira sebelah ibu – jika ibu kamu Yahudi, kamu juga Yahudi. Kepercayaan ini mengangkat kata-kata dan harapan ibu kepada anaknya sebagai undang-undang wajib dalam kehidupan anaknya, yang mana sebenarnya salah. Al-Quran dengan penuh hikmah membetulkan kesalahan ini dengan memberi peluang kepada anak-anak untuk tidak mendengar nasihat ibu bapa jika ia bertentangan dengan kehendak Islam, tetapi – meskipun demikian –  masih perlu berbuat baik kepada mereka.

            Ramai remaja perempuan Muslim mengabaikan kepuasan diri sendiri kerana ‘bantu ibu’. Ini juga merupakan satu kesalahan. Kebanyakan ibu memiliki lebih daripada cukup anak perempuan untuk membantnya di rumah. Adalah tidak perlu untuk semua anak berada di rumah atau berada di sekitar rumah sahaja untuk selama-lamanya, hanya untuk mudah membantu dalam melaksanakan kerja-kerja di rumah.

            Hambatan yang ketiga dalam memenuhi kepuasan peribadi adalah takut akan kekalahan. Bahkan pelajar kolej daripada kalangan Muslim sangat dihambat dengan ‘takut salah’, iaitu takut untuk melakukan kesalahan di hadapan kawan-kawan. Perbincangan ilmiah tidak dapat diadakan dalam suasana sebegitu. Seperti yang dibawa oleh Coelho, pengembaraan untuk mengenal diri tidaklah lebih mudah daripada pengembaraan lain, kecuali jika segenap hati kita berada dalam pengembaraan itu, dan kita telah merasakan kegagalan dan kemunduran yang sebenar.

            Terakhir, kita sering menghadapi sindrom ‘kegagalan saat akhir’. Sebagaimana yang disimpulkan oleh Coelho dalam nasihatnya, “Kita menguburkan semua impian kita, menggunakan semua kekuatan cinta untuk memelihara dan menghabiskan waktu bertahun-tahun dengan penuh luka, kita tiba-tiba menyedari bahawa apa yang kita hendak selama ini ada di sana, menunggu kita, mungkin tersangat dekat.”

            Dalam perkataan lain, kita melihat sekeliling kepada semua mereka yang gagal mencapai impian mereka dan kita berasa kita juga tidak layak untuk medapat apa yang kita kehendaki. Maka kita melakukan beberapa siri kesalahan bodoh dan kita tidak pernah dapat mencapai impian kita – padahal ia ada satu langkah sahaja daripada kita.

            Coelho mendapati bahawa perkara ini merupakan hambatan yang paling berbahaya kerana ia memiliki ‘semacam aura suci dalam perkara ini’ – menyangkal kebahagiaan dan kemenangan. Dan beliau telah menulis sebuah buku yang bagus untuk menunjukkan bagaimana sebenarnya perkara itu terjadi pada saat akhir. Apa yang terjadi kepada heronya pada saat terakhir sebelum mendapat kejayaannya harus dibiarkan kepada para pembaca untuk mencari sendiri.

            Dan akhirnya, kepada sesiapa yang mampu mengatasi hambatan ini, Coelho menawarkan satu janji yang mudah iaitu, jika kita betul-betul percaya bahawa diri kita layak untuk mendapatkan apa yang kita berjuang begitu keras untuk mendapatkannya, kita akan dibantu oleh Tuhan. Kita membantu ‘roh dunia’, dan kita mengerti kenapa kita berada di sini. Seperti mana A. J. Arberry menterjemahkan al-Quran, “Take forcibly what We send down to you.” [F]

Pautan Kekal Tinggalkan Komen

Peringkat-peringkat Tidur

Oktober 23, 2009 at 10:18 pm (merapu)

            Tidur terbahagi kepada kepada dua jenis iaitu tidur dengan mata bergerak-gerak atau REM  (Rapid Eye Movement) sleep dan tidur dengan keadaan mata tidak bergerak (non-REM)[1]. Tidur dalam keadaan mata bergerak adalah keadaan kita tidur apabila kita bermimpi.

Tidur dengan keadaan mata tidak bergerak (non-REM) boleh dibahagikan kepada empat peringkat:

1.   Peringkat pertama (Berasa mengantuk)

– apabila seseorang itu berasa mengantuk, ia sedang mengalami peringkat pertama untuk tidur. Peringkat ini hanya mengambil masa sekitar lima sehingga 10 minit sahaja. Mata akan bergerak perlahan di sebalik kelopak mata dan semua otot akan mengendur. Pada peringkat ini, seseorang itu mudah tersedar.

 

2.   Peringkat kedua (Tidur-tidur ayam)

– pada peringkat ini, pergerakan mata akan terhenti, kadar denyutan jantung akan menurun dan suhu badan juga akan menurun.

 

3.   Peringkat ketiga dan keempat (tidur lena)

– pada peringkat ketiga dan keempat, seseorang itu akan susah untuk tersedar. Jika seseorang itu terbangun pada peringkat tidur lena ini, ia akan berasa lemah dan pening. Ia juga akan mengambil sedikit masa untuk menghilangkan rasa pening tersebut.

 

Manakala peringkat tidur dalam keadaan mata bergerak-gerak (REM sleep) pula akan berlaku setiap 70 sehingga 90 minit dalam kitaran tidur. Kebiasaannya, seseorang itu akan mengalami tiga sehingga lima kali peringkat ini dalam semalaman. Pada peringkat ini, mata kita akan bergerak secara cepat dan rawak ke pelbagai arah di bawah kelopak mata. Sebab itulah peringkat tidur ini dinamakan Rapid Eye Movement sleep.

            Kitaran tidur yang pertama setiap malam menggabungkan peringkat REM yang pendek dan peringkat tidur nyenyak yang panjang. Apabila malam semakin larut, peringkat REM semakin panjang sementara tidur nyenyak akan semakin pendek. Bila menjelang pagi, kebanyakan manusia berada pada peringkat pertama, peringkat kedua dan tidur dalam keadaan mata bergerak. Dalam semalaman, kita akan mengalami beberapa kitaran tidur.


[1] Helpguide.Org, http://www.helpguide.org/life/sleeping.htm, 05 Febuari 2008.

Pautan Kekal Tinggalkan Komen

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.